Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu, mangsa, Muhammad Taufik Tajuddin, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan termasuk kepala.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Delek di sini ke tempat kerjanya di Padang Jawa, Seksyen 16, Shah Alam.

"Setibanya di lokasi kejadian motosikal mangsa cuba memotong lori berkenaan sebelum bergesel pada bahagian hadapan kenderaan berat itu.

"Akibatnya, motosikal tersebut hilang kawalan dan mangsa tercampak ke tengah jalan sebelum digilis lori berkenaan. Mangsa yang mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan termasuk kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Shamsul Amar berkata, mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk bedah siasat.

"Pihak kita telah mengambil keterangan pemandu lori berusia 38 tahun dan kita masih mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.

"Mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya kira-kira pukul 5.45 petang tadi," ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE