Turun sebagai beregu bukan pilihan nyata tidak menjejaskan sedikit pun keyakinan gandingan No.2 negara itu apabila melakukan serangan bertali arus ke arah pasukan lawan.

Kata Ee Yi, dia sendiri seolah-olah tidak percaya mampu melakar kemenangan pada perlawanan tersebut, lebih-lebih lagi lawan mereka itu merupakan beregu No.3 dunia.

"Sangat gembira dengan kemenangan ini dan ia sukar dipercayai. Mereka berjaya membaca permainan kami pada set kedua, namun kami kembali memperkemaskan taktikal seterusnya memenangi perlawanan.

"Sasaran kami pada kejohanan ini adalah hanya untuk lakukan kejutan ke atas mereka. Memandangkan ianya sudah tercapai, jadi kami sedia untuk melangkah lebih jauh," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu, Yew Sin menjelaskan sokongan padu yang diberikan penyokong-penyokong negara nyata membangkitkan semangat mereka, sekali gus menghadirkan keyakinan untuk menewaskan Boe-Mogensen.

"Antara faktor yang membantu kemenangan ini adalah sokongan padu penonton-penonton yang hadir. Ketika kami berada dalam keadaan tertekan, sokongan mereka sedikit sebanyak berjaya menenangkan kami.

"Selain itu, pertahanan baik yang kami terapkan pada perlawanan tersebut nyata berbaloi apabila pasukan lawan seolah-olah sudah mengalah untuk melakukan serangan," ujarnya lagi. - K! ONLINE