"Itu Perdana Menteri dahulu (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang membuat rundingan, tiada usaha yang wajar, tiada kajian daya maju.

"Tidak telus, kemudian hendak pinjam (duit) banyak-banyak," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerjanya selama lima hari ke China untuk menghadiri Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa (BRF) kedua yang berakhir semalam.

Kerajaan memutuskan untuk meneruskan pembangunan ECRL, yang akan menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia selepas digantung pembinaannya pada tahun lepas berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Persetujuan untuk meneruskan ECRL dibuat selepas kejayaan rundingan semula oleh Wakil Khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin yang berjaya mengurangkan kos pembinaan ECRL daripada kos asal iaitu RM65.5 bilion kepada RM44 bilion. - Bernama