Dzulkifli,50, tiba di ibu pejabat SPRM di sini pada pukul 10.25 pagi dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail berwarna hitam.

Beliau yang hadir memakai baju sut lengkap berwarna hitam sempat melambai kepada petugas media sebelum memasuki bangunan SPRM.

Beliau merupakan antara individu pertama mengetuai siasatan skandal 1MDB dan SRC International yang menjadi saksi utama selepas pihak SPRM meneliti dokumen asal laporan akhir Audit 1MDB untuk dibandingkan dengan draf akhir yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara.

Terdahulu, media melaporkan Dzulkifli merupakan antara sekurang-kurangnya empat individu yang bakal dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi dakwaan sama.

Pada 14 Mei lalu, Dzulkifli melepaskan jawatannya menerusi surat perletakan jawatan kepada bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Dzulkifli dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016 menggantikan Tan Sri Kassim Mohamed. - K! ONLINE