Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, dua daripada tiga lelaki berkenaan ditahan awal pagi tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

"Kedua-dua suspek tersebut ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar Gombak hasil daripada risikan yang dilakukan serta maklumat daripada orang awam. 

"Pihak polis kini sedang memburu seorang lagi suspek terlibat yang masih bebas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Samsor, kedua-dua lelaki yang ditahan itu direman selama empat hari sehingga 17 September ini oleh Mahkamah Majistret Gombak.

Semalam, polis mendedahkan gambar tiga suspek berkenaan yang dikehendaki kerana melakukan penganiayaan dan membunuh haiwan dibawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular satu rakaman Televisyen Litar Tertutup (CCTV) memaparkan tindakan kejam dua individu yang membunuh seekor kucing bunting dengan cara memasukkannya ke dalam mesin mengering pakaian di sebuah pusat dobi layan diri di Taman Gombak Ria di sini.

Perbuatan kejam tersebut seterusnya tersebar di lama media sosial dan menerima kecaman daripada masyarakat sebelum Persatuan Haiwan Malaysia bertindak membuat laporan kepada pihak polis. - K! ONLINE