Sekolah Kebangsaan (SK) Gintong dan SK Kampung Pagi di sini diarah tutup berikutan laluan ke sekolah berkenaan dinaiki air menyebabkan mereka terputus hubungan.

Pegawai Pendidikan Daerah, Ali Afandi Abdul Majid berkata, seramai 32 murid dari SK Gintong dan SK Kampung pagi (29 murid) dibenarkan bercuti serta-merta.

"SK Gintong ditutup sejak awal pagi kerana jalan ke sekolah berkenaan dinaiki air dan ditutup kepada semua jenis kenderaan.

"SK Kampung Pagi pula ditutup selepas waktu rehat berikutan peningkatan paras air secara mendadak sehingga memasuki kawasan sekolah," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan banjir di Kampung Gintong bersama Ahli Parlimen, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Menurut Ali Afandi lagi, penutupan kedua-dua sekolah berkenaan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor terutama keselamatan semua guru dan murid.

"Kami akan memantau paras air dari semasa ke semasa selain meminta agar pentadbir sekolah segera menghubunginya jika sekolah mereka terlibat dengan banjir bagi memudahkan urusan seterusnya," ujarnya.

Beliau memberitahu, kedua-dua sekolah berkenaan akan dibuka semula apabila paras air didapati surut sepenuhnya.

Dalam pada itu, Ahmad Nazlan meminta semua pihak tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai banjir kerana ia akan menyusahkan banyak pihak.

"Saya juga berharap mereka yang terlibat dapat mematuhi arahan pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya dan membawa barang yang penting sahaja ke pusat pemindahan," jelasnya. - K! ONLINE