Saksi pertama, guru muzik Sekolah Kebangsaan Kampung Salang, Arau, selaku pengurus kumpulan Buskers DSSK, Azhar Hasan, 49, manakala saksi kedua, Adzleen Junaira Mohd Nasir, 27, ialah isteri kepada seorang anggota kumpulan itu.

Ketika disoal oleh Pengarah Pendakwa Raya Perlis, Mohd. Nordin Ismail, Azhar menggunakan perkataan 'sentuhan luar biasa' bagi menggantikan perkataan cabul.

Azhar berkata, kumpulan itu sedang membuat persembahan di hadapan Stadium Tuanku Syed Putra Kangar apabila Shahidan tiba dengan menaiki Toyota Harrier dan berhenti tidak jauh dari tempat mereka membuat persembahan kira-kira pukul 11.30 malam.

Katanya, seperti biasa beliau pergi kepada Shahidan dan kemudian melambai ke arah remaja itu (yang berusia 15 tahun tujuh bulan semasa kejadian) supaya datang.

Menurutnya, setelah berada dua atau tiga minit dalam kereta, remaja itu dilihat keluar dari kenderaan berkenaan dan berjalan ke arah khemah di mana ibu, bapa dan adik remaja itu sedang menyaksi kumpulan Buskers DSSK membuat perembahan.

Katanya, beliau berpendapat sesuatu luar biasa berlaku antara remaja itu dan tertuduh apabila bapa remaja itu tiba-tiba mengajak pulang sebaik dimaklumkan sesuatu oleh ibunya.

"Saya pula tidak melihat atau mendengar perbualan mereka kerana berada di belakang kenderaan," kata Azhar.

Beliau berkata, Shahidan kemudian meninggalkan kawasan itu setelah menyerahkan wang RM300 kepadanya.

Shahidan dituduh melakukan amang seksual dengan menyentuh bahu hingga tangan seorang remaja perempuan bawah umur dalam kereta Toyota Harrier di tepi jalan pada kira-kira pukul 11.30 malam di pekarangan Stadium Syed Putra, Kangar pada 20 Oktober tahun lepas. - Bernama