Dalam kejadian pada pukul 1.45 petang tersebut, Muhammad Arif Haikal Amran, 16, dan Muhammad Hafiz Asran, 16, dikatakan tiba-tiba hanyut di bawa arus deras sebelum tenggelam ke dasar air terjun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktaffi Billah Shah, Jaswari Awang  berkata, Muhammad Arif Haikal dan Muhammad Hafiz yang berasal dari Kuala Nerus telah berkunjung ke kawasan air terjun, Lubuk Kain bersama rakan-rakan.

"Kedua-dua mangsa yang sedang leka mandi di kawasan air terjun itu dikatakan tiba-tiba dihanyutkan arus deras sebelum tenggelam ke dasar air terjun.

"Rakan-rakannya yang panik telah memaklumkan kejadian itu dan meminta bantuan penduduk kampung tidak lama kemudian," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Jaswari berkata, mayat Muhammad Arif Haikal telah ditemui penduduk kampung pada pukul 2 petang manakala mayat Muhammad Hafiz pula pada pukul 45 minit kemudian.

Menurut beliau, mayat kedua-dua remaja itu telah ditemui dalam kedalaman lebih dua meter dari dasar air terjun tidak jauh dari lokasi mereka dilaporkan hilang.

"Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat," katanya.

Kawasan air terjun Lubuk Kain merupakan antara kawasan perkelahan sering mencatatkan kes lemas di Terengganu dipercayai akibat kewujudan pusaran air di dasar sungainya. - K! ONLINE