Pasangan tersebut, Intan Zaleha Mohd. Zaki, 24, dan Ahmad Helmi Osman, 26, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan pertama yang dibacakan secara berasingan, kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa memiliki enam keping wang kertas palsu bernilai RM100 di sebuah rumah di Kampung Budi Mukim Lesong, Pokok Sena pada pukul 3 petang 5 Ogos lalu.

Pendakwaan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 489(C) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Pendakwaan dilakukan Rehab Abdul Shukur manakala Intan Zaleha dan Ahmad Helmi pula tidak diwakili peguam.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh didakwa membuat dan memiliki peralatan berupa mesin pencetak, komputer riba dan pisau pemotong untuk pemalsuan wang berkenaan di lokasi dan masa yang sama.

Pendakwaan ke atas pertuduhan itu mengikut Seksyen 489(D) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan penjara.

Selain itu, Ahmad Helmi turut menghadapi pertuduhan memiliki tiga keping wang kertas palsu RM100 pada masa dan lokasi sama.

Ahmad Helmi turut mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tersebut iaitu mengikut Seksyen 489 (C) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Juraidah kemudian membenarkan kedua-dua diikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang bagi dua pertuduhan berkenaan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga yang dihadapi Ahmad Helmi pula hakim menetapkan jaminan RM4,000.

Juraidah menetapkan 4 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes. - K! ONLINE