Menurut sumber, ketua pegawai eksekutif bergelar Datuk Seri yang berusia 49 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.30 petang tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir memberi keterangan.

Katanya, penasihat syarikat bergelar Datuk yang berusia 55 tahun itu pula ditahan pada pukul 11.30 pagi di Dutamas Raya, Kuala Lumpur.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua individu tersebut telah bersubahat untuk membayar wang suapan kepada penguatkuasa dari sebuah kementerian.

"Ia sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap syarikat mereka yang menjalankan aktiviti mengutip deposit bagi pelaburan yang tidak sah sekitar Julai 2017," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya esok. - K! ONLINE