Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 3.55 petang itu, mangsa, Sabariah Yusoff, 59, dan Wan Asmah Wan Ismail, 58, meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza itu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati kenderaan Perodua Alza dipandu menantu Sabariah, Yudi Haryono, 39, yang membawa empat penumpang itu sedang dalam perjalanan dari arah Jeli menuju ke Pulau Pinang.

"Tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Yudi terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun. 

"Akibat pertembungan secara berhadapan itu, dua penumpang wanita kereta Perodua Alza yang duduk di bahagian tengah kenderaan MPV itu cedera parah dan maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Ismail, Yudi mengalami kecederaan di dalam perut manakala dua anaknya, Muhammad Hazriq Wiranata, 11, dan Muhammad Harith Muzaffar, 10, masing-masing patah kaki dan tangan. 

"Pemandu Proton Persona, Abdul Majid Mausin, 27, yang merupakan seorang guru pula mengalami kecederaan patah kaki.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut," katanya.

Katanya, kedua-dua kenderaan terlibat ditahan untuk dihantar ke Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) bagi pemeriksaan lanjut.

"Kedua-dua pemandu kenderaan tersebut juga diambil sampel air kencing dan darah untuk ujian kimia.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - K! ONLINE