Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam dalam satu kenyataan berkata, yang maut dalam kejadian itu dikenali sebagai Mohd Azzarnuddien Abdullah, 41, dan Sharifah Hawa Syed Mokhtar, 55, masing-masing daripada kenderaan berasingan.

"Siasatan awal mendapati Proton Wira yang dipandu Mohd Azzarnuddien dalam perjalanan dari Ayer Keroh, Melaka menghala ke Senawang hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah lori jenis Isuzu yang juga dari arah yang sama.

"Akibat dari perlanggaran itu, lori berkenaan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan dan merempuh kenderaan lain iaitu Proton Exora dan Mercedes Benz yang dinaiki Sharifah Hawa.

Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tampin untuk tujuan post mortem manakala yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban dan Alor Gajah untuk rawatan lanjut. 

Anuar Bakri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987. - Bernama