Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kedua-dua individu itu dikenali Aung Aung yang bercermin mata dan Moe masing-masing berusia 20-an.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua mereka adalah pekerja syarikat yang sama dengan mangsa serta tidak mempunyai dokumen perjalanan yang lengkap.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil di mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu mengesan dua individu berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam kejadian pukul 12.45 pagi pada 26 Disember tahun lalu seorang lelaki pendatang asing tanpa izin warga Myanmar berusia 26 tahun mati ditikam di bahagian leher di asrama syarikat tersebut.

Jelasnya, selepas kejadian dua pekerja Myamnar ini terus melarikan diri dan dipercayai dapat membantu siasatan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE