Dalam kejadian kira-kira pada pukul 1 pagi itu, mangsa, Aidil Hakimie Abd. Latid, 19, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah. 

Seorang lagi mangsa, Syed Muhammad Badrul Amin Syed Mohd. Nasir, 23, pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang. 

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati semua motosikal tersebut dalam perjalanan dari arah Durian Kudung menghala ke Bota. 

“Tiba di tempat kejadian, dua buah motosikal tersebut bergesel sesama sendiri sebelum terjatuh di atas jalan. 

“Tiga motosikal lain yang berada di belakang mereka pula tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal yang berada di atas jalan sebelum terjatuh serta terseret di pelbagai arah di atas jalan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. 

Tambah Mohamad Zainal, akibat kemalangan tersebut, Aidil Hakimie yang merupakan pembonceng motosikal jenis Modenas Dinamik meninggal dunia di tempat kejadian manakala abangnya yang merupakan penunggang motosikal itu mengalami pendarahan di kepala. 

“Penunggang motosikal jenis Yamaha 125Z, Syed Muhammad Badrul Amin pula mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke Hospital Changkat Melintang dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di sana. 

“Dua lagi mangsa berusia 20 dan 25 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dan Yamaha LC135 turut mengalami kecederaan parah selepas patah tangan kanan dan kaki kanan manakala seorang lagi penunggang motosikal jenis Yamaha LC135 hanya mengalami luka-luka ringan,” katanya. 

Jelasnya, mangsa yang parah dirawat di hospital sama namun abang Aidil Hakimie iaitu Muhamad Saufi, 22, yang merupakan seorang anggota tentera di Kem Sungai Udang, Melaka dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan lanjut. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - K! ONLINE