Kedua-dua tertuduh, Yap Ying Chao, 26, dan Boo Weil Seng, 30, pada mulanya membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Syed Faisal Syed Amir.

Bagaimanapun, ketika pertuduhan dibacakan buat kali kedua, kedua-dua lelaki itu kelihatan terpinga-pinga dan memberi alasan apabila dilihat tidak memahami pertuduhan yang dihadapi mereka walaupun telah ditanya berulang kali oleh Syed Faisal.

Tindakan dua lelaki itu membuatkan mahkamah membuat keputusan untuk menolak pengakuan pertama yang dibuat oleh mereka kerana ia adalah pengakuan bersyarat.

Oleh itu, mahkamah menetapkan wang ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Ying Chao dan Weil Seng didakwa bersama-sama menerima deposit daripada Fong Han Yan, 30, berjumlah RM5,720 tanpa suatu lesen yang sah diberikan mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Wang 2013 (Akta 758).

Perbuatan itu dilakukan oleh mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamunting dekat sini kira-kira pukul 11.14 pagi pada 12 April 2016.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Wang 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan terhadap mereka dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Syed Faisal menetapkan tarikh 7 September depan untuk lantikan peguam dan kes dibaca semula dengan memanggil jurubahasa Bahasa Mandarin.

Kedua-dua tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah. - K! ONLINE