Bertindak atas maklumat pihak polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur membuat serbuan di sebuah rumah yang dipercayai tempat suspek menyembunyikan mangsa pada pukul 1.35 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff, berkata, ketika serbuan dibuat suspek melepaskan tembakan dan bagi mempertahankan diri pihak polis turut melepaskan beberapa das tembakan.

“Kedua-dua suspek yang juga warga asing tumpas selepas beberapa tembakan terkena pada anggota badan mereka.

“Dalam kejadian itu, pihak polis turut berjaya menyelamatkan seorang mangsa culik warga Bangladesh berusia awal 30-an yang dilaporkan diculik di Sentul pada 8 Februari lalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Turut dirampas di lokasi kejadian adalah sepucuk pistol jenis 9mm dan sebilah parang yang digunakan suspek.

Menurutnya lagi, identiti dan warga negara kedua-dua suspek masih dalam siasatan berikutan tiada dokumen pengenalan dijumpai bersama mereka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” ujarnya. - K! ONLINE