Korban terbaharu Palestin ialah Shadi Shabat, 38, yang terbunuh dalam pertempuran di timur Bandar Gaza. Terdahulu, seorang lagi mangsa telah ditembak mati di timur Khan Yunis yang terletak di selatan Gaza, ujar pihak kementerian.

Pemberontakan semalam berlaku selepas seminggu tunjuk perasaan yang bertukar menjadi pertempuran dan mengorbankan 19 orang rakyat Palestin pada hari terburuk sejak perang pada tahun 2014.

Tentera Israel telah dikecam kerana tindakannya menggunakan peluru hidup, namun mereka turut memberi amaran bahawa undang-undang penggunaan peluru hidup akan kekal tidak berubah bagi menghalang kerosakan pagar di sempadan, penyeludupan, dan serangan.

Semalam, tentera Israel berkata dalam satu kenyataan bahawa anggaran 10,000 orang Palestin telah mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di lima lokasi sepanjang sempadan wilayah Gaza.

Tambahnya, beberapa cubaan untuk merosakkan dan menyeberang pagar keselamatan telah dibuat dengan berlindung di sebalik asap daripada tayar terbakar yang dinyalakan oleh penunjuk perasaan.

Tentera Israel memberitahu, bahawa peranti letupan dan bom api turut dilemparkan.

“Pasukan tentera terpaksa bertindak balas termasuk menggunakan meriam air untuk memadamkan kebakaran, kipas besar untuk menghilangkan asap dan melepaskan tembakan apabila perlu,” katanya.

Penunjuk perasaan menyalakan timbunan tayar untuk menghasilkan asap tebal ke udara bagi mengelirukan penembak tepat Israel. - AFP