Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, dua kanak-kanak berusia lapan dan 11 tahun parah selepas siling ditingkat lapan itu pecah dan mereka terjatuh ke atas tangga di tingkat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati, kejadian tersebut berlaku ketika dua kanak-kanak itu sedang memanjat bumbung di tingkat lapan flat berkenaan untuk menangkap burung merpati.

Flat Sri Proton
Flat Sri Proton, lokasi dua kanak-kanak yang terjatuh dari siling.

 

"Kedua-dua mereka ini telah memanjat tangki air di atas bangunan lapan tingkat itu, bagaimanapun terjatuh ke atas simen tingkat berkenaan selepas siling yang dipijak mereka pecah.

"Akibatnya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan pada di kepala dan kini sedang mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR)," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Shamsul Amar berkata, keadaan kanak-kanak tersebut masih dalam pemerhatian doktor di zon kecemasan dan pihak hospital akan menjalankan pemeriksaan x-ray terhadap mereka. - K! ONLINE