Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohd. Zani Che Din berkata, dalam kejadian pukul 8.05 pagi itu, helikopter berkenaan sedang melakukan penerbangan ujian di kawasan padang rumput lapangan terbang berkenaan.

"Sewaktu melakukan penerbangan ujian berkenaan, helikopter tersebut dipercayai telah hilang kawalan lalu terhempas di tempat kejadian.

"Insiden berkenaan telah mengakibatkan dua juruterbang lelaki masing-masing berusia 59 dan 70 tahun cedera," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Bagaimanapun, cubaan Kosmo! Online untuk mendapatkan sebarang kenyataan daripada syarikat pemilik helikopter berkenaan tidak berjaya dan gagal mendapat maklum balas.

Menurut Mohd. Zani, insiden melibatkan helikopter yang dikuasakan oleh enjin Rolls-Royce RR300 dengan aci turbo itu tidak mengganggu operasi harian LTSAAS.

"Setakat ini tiada sebarang laporan polis yang dibuat oleh pihak syarikat pemilik helikopter berkenaan," ujar beliau. - K! ONLINE