Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, kedua-dua sekolah ini dibuka selepas mendapat kebenaran dan pengesahan daripada pihak bomba serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memaklumkan keadaan kembali pulih.

Menurutnya, walaubagaimanapun pihak sekolah terutamanya guru-guru perlu berjaga-jaga selain mengambil tindakan segera jika terdapat simptom-simptom sama dihadapi pelajar sekolah sebelum ini.

"Hari ini dua sekolah terlibat dibuka balik seperti biasa selepas dua hari diberi cuti kescemasan iaitu pada Khamis dan Ahad (semalam) akibat peristiwa sungai tercemar ekoran pembuangan sisa toksik.

"Sehingga kini dua pelajar masih diberi rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) dan lapan pelajar ditempatkan di wad biasa," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau keadaan pelajar di SK Taman Pasir Putih di sini hari ini.

Aminolhuda berkata, pihaknya menggesa pihak berkaitan terutamanya JAS agar membuat siasatan segera dan membawa mereka yang tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Khamis lalu, media melaporkan lebih 1,400 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih diarahkan mengosongkan kawasan sekolah kira-kira pukul 10.30 pagi apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Sehingga kini, seramai 82 mangsa dirawat di hospital akibat pencemaran gas dengan empat orang termasuk dua pelajar sekolah menengah dan seorang pengusaha kantin dan pemandu ambulans masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kejadian dipercayai berpunca daripada pembuangan bahan kimia yang disyaki minyak cuci kapal jenis metana ke dalam Sungai Kim Kim oleh pihak tidak bertanggungjawab dipercayai dilakukan pada pukul 2 pagi Khamis lalu. - K! ONLINE.