Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam tadi yang berlaku di Kampung Baru Tambahan Seberang berhampiran Sungai Kob di sini, mangsa Johari Bakar,  57, dan anak bongsunya, Nor Suri Danila, 14, ditemui lemas selepas hanyut akibat arus deras ketika cuba menyelamatkan diri bersama isteri Johari, Che Yam Ton, 55, dan seorang lagi anak mereka Azim Hazrin, 21, yang terselamat. 

Penduduk kampung menemukan mayat Nor Suri Danila yang tersangkut pada pokok di tepi sungai sekitar pukul 8.40 pagi tadi selepas hanyut kira-kira tiga kilometer dari rumah. 

Mayat Johari pula ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya sekitar pukul 10 pagi tadi.  

Sementara itu, isteri mangsa, Che Yam, 55, berkata, air mula naik sekitar pukul 11 malam akibat hujan lebat.

"Anak lelaki,  Azim Hazrin suruh kami jangan angkat apa-apa barang sebab tengok hujan dan air sungai yang naik pelik sangat. 

"Masa tu, air dah separas dada, kami keluar untuk duduk di atas pelantar di garaj kereta sebab tempat tu tinggi.  Tapi tak sampai lima minit, air memenuhi ruang garaj dan arus kuat hanyutkan kami semua," katanya ketika ditemui di unit Forensik Hospital Kulim. 

Katanya, dia pada mulanya berjaya berpaut pada pokok jambu dan memegang Nor Suri Danila manakala Azim Hazrin berjaya memaut pada tiang garaj. 

Bagaimanapun, Che Yam terlepas pegangan Nor Suri Danila selepas terlanggar motosikal dan sempat mendengar anaknya itu menjerit memanggil abangnya.

Che Yam kemudiannya berjaya sekali lagi berpaut pada pokok mangga dan menunggu sehingga pukul 3 pagi sebelum diselamatkan. 

"Orang kampung jumpa makcik dan seorang lagi anak awal lagi tapi tak boleh nak selamatkan sebab arus kuat. Jadi mereka tunggu sampai air surut dalam pukul 3 pagi," katanya. 

Kedua mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Kob selepas urusan bedah siasat selesai dilakukan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulim,  Superintendan Nasir Jaafar yang dihubungi Bernama mengesahkan kejadian tersebut. 

"Kejadian berlaku akibat arus deras yang berlaku di sungai yang terletak berhampiran rumah mangsa sekitar 11 malam. 

"Mangsa tersebut dalam cubaan menyelamatkan diri sebelum ditolak arus kuat dan hanyut. Kedua-dua mayat sudah dijumpai dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. - Bernama