Mayat kedua-dua mangsa, Nur Salsabila Mohd Fakrul Khair, 16, dan adiknya Nur Ain Sumayyah,13, ditemui kira-kira pukul 3 pagi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran berkenaan pada kira-kira pukul 2.48 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 17 anggota bersama pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian, api telah marak dan memusnahkan hampir 100 peratus rumah kayu berkenaan. Kebakaran dapat dikawal dalam tempoh dua minit.

"Selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya 10 minit kemudian kita telah menemui mayat kedua-dua mangsa di dalam sebuah bilik tidur,"katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hafisham berkata, ketika kejadian hanya mereka berdua berada di rumah berkenaan manakala ibu bapa dan abang mereka tiada dirumah.

'Ibu bapa mereka keluar untuk membantu memasak makanan bagi anggota bomba kami yang bertugas memadamkan kebakaran di kilang kimia di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang," katanya.

Jelas beliau, punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat kedua beradik berkenaan dihantar ke Hospital Banting untuk tindakan selanjutnya. - K! ONLINE