Sepupu kepada ibu mangsa, Abdullah Mohd. Yusof, 25, berkata, dia menerima panggilan mengenai kejadian yang menimpa keluarga tersebut pada pukul 12.50 tengah hari sebelum bergegas ke hospital. 

Menurut Abdullah, pasangan suami isteri tersebut yang mengajar di Madrasah Tahfiz Azzahra (Mataz), Gelang Patah, Johor ingin pulang berhari raya di Yala bersama dua anak perempuan mereka sebelum terlibat dalam nahas jalan raya. 

“Ketika saya maklumkan kepada bapa mangsa bahawa kedua-dua anak perempuannya telah meninggal dunia, dia seakan tidak percaya dan terus menangis. 

“Saya mintanya supaya bertenang dan reda dengan kehilangan tersebut selain memaklumkan bahawa isterinya juga dalam keadaan kritikal akibat kemalangan itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di perkarangan Unit Forensik Hospital Kemaman di sini hari ini. 

Tambah Abdullah yang juga merupakan seorang guru tahfiz di Kerteh dekat sini, suami kepada sepupunya itu berhenti seketika di bahu jalan kerana terlalu mengantuk untuk meneruskan perjalanan. 

“Saya tidak sempat berbual panjang dengannya kerana dia masih trauma dengan kejadian yang berlaku. 

“Keluarga kedua-dua pasangan itu yang menetap di Yala juga sedang dalam perjalanan ke sini dan saya dimaklumkan oleh pihak hospital urusan bedah siasat ke atas jenazah adik-beradik itu akan diselesaikan esok pagi,” ujarnya. 

Jelas Abdullah, sepupunya itu berasal dari Kampung Beladau Kepong, Kuala Terengganu namun keluarganya kini menetap di Yala. 

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan tiga termasuk dua beradik perempuan maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan kira-kira pukul 11.15 pagi tadi. 

Penumpang Perodua Axia, Haznah Ali, 59, serta dua beradik perempuan, Weaam Lukman, lapan bulan dan kakaknya, Wedad, 2 tahun 7 bulan yang menaiki Proton Wira disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dalaman yang dialami.

Bapa mangsa yang juga merupakan warga Thailand, Lukman Waeni, 31, hanya cedera ringan manakala isterinya, Hnan Ismail, 23, dilaporkan parah. - K! ONLINE