Dalam kemalangan pada pukul 4.30 pagi itu, R. Vijaydren,16, dan adiknya, R. Shankar,13, meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab. Hamid berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa bersama ibu dan bapa tirinya menaiki kereta jenis Nissan Sentra sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Sungai Petani, Kedah.

Jelasnya, sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai bergesel dengan sebuah lori.

"Insiden itu menyebabkan kereta berkenaan telah berhenti di tengah lebuh raya.

"Sewaktu kejadian, sebuah bas ekspres yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak sebelum merempuh bahagian belakang kereta tersebut," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Razlam, ekoran kemalangan itu, Vijaydren disahkan maut di lokasi kejadian manakala adiknya meninggal dunia sewaktu mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.

Ujarnya, bapa tiri mangsa hanya mengalami kecederaan ringan manakala ibunya yang berusia 36 tahun cedera parah.

Tambah Razlam, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE