Tertuduh, Mohd. Farizzuan Ismail, 24, dan Noor Azlan, 32, mengaku faham dengan pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh tersebut.

Mereka didakwa bersama-sama seorang yang telah meninggal dunia dan seorang lagi yang masih bebas dalam mencapai niat bersama telah membunuh Mohamad Ghadafi Amir Zamri, 29.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan kedai cuci kereta Woo Snow Wash, PT. 301, Kampung Simpang Empat Tok Darat, Mukim Bukit Tuku di sini antara pukul 12 tengah hari hingga pukul 1 petang pada 13 Ogos tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala dua beradik berkenaan tidak diwakili peguam. - K! ONLINE