Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Shazali Hidayat Shariff terhadap kedua-dua anggota berpangkat Sub Inspektor dan Sarjan masing-masing berusia 38 dan 51 yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kontinjen Selangor.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), penangkapan kedua-dua anggota polis itu dilakukan pukul 12.30 tengah hari dan 9 malam semalam di pejabat SPRM Selangor selepas hadir memberi keterangan.

Katanya, tangkapan tersebut dilakukan oleh SPRM Pulau Pinang dengan dibantu oleh SPRM Selangor. 

"Ini merupakan susulan tangkapan tiga anggota polis semalam yang kita percayai kesemua mereka mempunyai rantaian rasuah yang sama.

"Kita percaya anggota polis berpangkat Sub Inspektor yang bertugas di Bukit Aman itu merupakan dalang rantaian bagi kumpulan ini," katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Sumber itu turut memaklumkan kegiatan rasuah mereka telah dilakukan hampir enam tahun sejak 2012 dengan memperoleh suapan secara purata antara RM300 hingga RM500.

Jelas sumber, kes kini disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan perkara tersebut, namun enggan mengulas lanjut. 

Kosmo! Online semalam melaporkan tiga anggota polis trafik masing-masing berpangkat Sarjan, Koperal dan Lans Koperal dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman direman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung menerima wang suapan bagi menutup saman-saman trafik yang dikenakan kepada pemilik kenderaan. - K! ONLINE