Kedua-dua anggota JPJ itu adalah daripada bahagian pelesenan cawangan Bintulu, Sarawak semasa melakukan kesalahan tersebut bermula pada tahun 2015 lalu.

Sementara, orang awam itu merupakan pemilik sekolah memandu di sekitar Damansara, Kuala Lumpur.

Kesemua suspek yang ditahan berusia 30 hingga 40 tahun.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka ditahan pukul 2.30 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

Katanya, dua anggota itu dengan seorang daripadanya adalah wanita kini bertugas di JPJ cawangan Bintulu, Sarawak dan Seremban, Negeri Sembilan.

"Berdasarkan siasatan awal, pemilik sekolah memandu itu bertugas mencari pembeli-pembeli berpotensi terutama warga asing bagi mendapatkan lesen memandu dengan kadar segera tanpa melalui prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa.

"Setiap lesen memandu antarabangsa terbang itu akan dikenakan caj sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 dengan pengeluarannya akan dilakukan oleh dua anggota JPJ tersebut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sumber itu menambah, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui komisen yang diterima oleh dua anggota JPJ berkenaan bagi setiap satu pengeluaran lesen memandu tersebut.

Jelasnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut namun enggan mengulas lanjut. - K! ONLINE