Hakim Ab. Karim Ab. Rahman memerintahkan keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan semakan tahanan reman yang dikemukakan pihak plantif kedua-dua remaja itu terhadap keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya sebelum ini. 

Ab. Karim dalam penghakimannya memberitahu, Majistret Petaling Jaya, Nor Ariffin Hisham didapati tidak cermat dalam kehakimannya sehingga membenarkan tahanan reman selama tujuh hari bermula Ahad lalu. 

"Tiada keperluan penahanan reman selama tujuh hari (kepada dua remaja tersebut) berikutan ketiadaan justifikasi siasatan oleh pegawai penyiasat kes tersebut.

"Sebaliknya, tahanan reman sepatutnya cukup memadai dua atau tiga hari sahaja. Justeru, reman kedua-dua remaja itu patut berakhir hari ini selepas pukul 5 petang," katanya. 

Sehubungan itu, perintah Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 9 September lalu terhadap perintah tahanan reman selama tujuh hari terhadap dua remaja masing-masing berusia 14 dan 16 tahun itu diketepikan. 

Pada prosiding tersebut, plantif diwakili Peguam Hisyam Teh Poh Teik dan LS. Leonard manakala Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli mewakili responden.

Difahamkan, kedua-dua remaja tersebut akan dibebaskan daripada lokap Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya. 

Kedua-dua remaja tersebut sebelum ini ditahan selepas laporan forensik memaklumkan terdapat dua lubang ditemui di leher ayah tiri mereka dipercayai kesan daripada anak panah. 

Remaja berusia 14 tahun itu dikatakan seorang ahli sukan acara pemanah terbaik di sekolahnya. 

Pada 9 Ogos lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengklasifikasikan semula kematian Nazrin pada malam Hari Raya Aidilfitri lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan bukan mati akibat terperangkap dalam kebakaran. -K! ONLINE