Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, hasil pemantauan dan risikan awal mendapati syarikat yang beroperasi sejak 2010 itu memperoleh pas bagi pekerja asing dengan mengemukakan surat palsu bagi kelulusan kuota pekerja asing kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen.

"Susulan maklumat tersebut, suspek pertama seorang lelaki berusia 51 tahun telah ditahan dalam operasi di Nilai, Negeri Sembilan pada pukul 11.30 pagi semalam, manakala suspek kedua juga berusia 51 tahun ditahan di Putrajaya pada pukul 2.30 petang tadi.

"Ketika operasi yang dijalankan semalam (kelmarin), pihak Imigresen telah berjaya menyelamatkan 65 orang warganegara Bangladesh yang merupakan pekerja syarikat terbabit di sebuah asrama. Mereka sebelum ini tidak mengetahui pas pekerja mereka adalah palsu dan menjadi mangsa pemerdagangan manusia," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mustafar, siasatan yang dijalankan turut mendapati pekerja warga Bangladesh tersebut telah tiga hingga lima bulan tidak dibayar gaji oleh syarikat berkenaan.

"Syarikat ini mendakwa mempunyai surat kelulusan kuota pekerja asing untuk 250 orang, namun pengesahan di KDN mendapati surat tersebut yang merupakan syarat untuk kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara oleh Jabatan Imigresen telah dipalsukan.

"Apabila mereka mempunyai kuota pekerja asing, maka syarikat-syarikat yang memperlukan pekerja akan membayar kepada mereka contohnya bagi kes ini antara RM1,800 hingga RM2,000 bagi seorang pekerja," katanya.

Jelas Mustafar, lebih menyedihkan pekerja asing yang diperdagangkan itu tidak dibayar gaji dan mereka terpaksa membuat pinjaman kepada pihak syarikat antara RM300 hingga RM500 untuk keperluan harian.

"Pihak Imigresen juga telah merampas sebanyak 377 pasport iaitu masing-masing 361 pasport Bangladesh, 15 pasport Indonesia dan satu pasport Nepal serta 61 jenis dokumen sebagai bukti pemalsuan oleh pihak syarikat berkenaan.

"Berikutan itu, pihak imigresen telah melakukan tangkapan terhadap kedua-dua ahli lembaga pengarah tersebut kerana melakukan kesalahan di bawah seksyen 56(1)(k) Akta Imigresen 1959/63 iaitu mengemukakan maklumat palsu untuk mendapatkan suatu pas," katanya.

Tambah Mustafar, dengan penahanan dua suspek tersebut, pihaknya juga sedang memburu seorang lagi suspek yang merupakan ahli lembaga pengarah syarikat sama bagi membantu siasatan. - K! ONLINE