Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, tiga buah lebuh raya pula hanya memberikan diskaun tol di plaza tol tertentu seperti Plaza Tol Ampangan, Lebuh Raya Kajang - Seremban (LEKAS), Plaza Tol Pulau Indah, Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Plaza Tol Perling dan Tol Lima Kedai, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA).

Katanya, pelaksanaan diskaun itu akan berkuatkuasa dalam tempoh 24 jam bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam.

"Program pemberian diskaun tol ini telah mula dilaksanakan oleh syarikat konsensi bermula pada tahun 2010 dengan kadar diskaun tol antara 5 hingga 100 peratus.

"Kita berterima kasih kepada syarikat konsesi dalam memberikan diskaun ini dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan lebuh raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kawasan Rehat dan Rawat Klang Utara Lebuh Raya Pintas Selat Kelang Utara Baru (GRAND SEPADU) di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Sr. Aziz Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia, Datuk Azman Ismail.

Menurut Baru, pihaknya menjangkakan berlaku kesesakan di beberapa lokasi tertentu disebabkan pertambahan kenderaan di jalan raya pada waktu puncak semasa orang ramai balik
ke kampung dan pulang semula ke rumah. 

Justeru, beliau menjelaskan pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di pusat pengurusan trafik LLM yang akan beroperasi 24 jam sehari sepanjang musim perayaan untuk perancangan perjalanan.

"Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati 85 peratus kemalangan jalan raya adalah disebabkan kecuaian pemanduan oleh pengguna yang tidak berhemah.

"Malah, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuktikan sebanyak 201,835 saman dilaporkan sepanjang Ops Selamat Hari Raya tahun lalu," katanya. - K! ONLINE