Dalam kejadian lebih kurang pukul 11.30 malam tersebut segelintir individu mendakwa bunyi letupan berkenaan berpunca daripada meteor yang terjatuh lalu meletup di sekitar daerah Kota Belud.

Berdasarkan rakaman suara yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, saksi menceritakan detik melihat kehadiran meteor dan langit menjadi terang kira-kira empat saat sebelum meteor tersebut dipercayai terjatuh di Kota Belud.

Secara ringkas meteor (tahi bintang) adalah cahaya terang yang melintasi langit pada waktu malam dengan pantas dan secara tiba-tiba.

Dalam pada itu, segelintir pihak mendakwa bahawa letupan itu berkemungkinan berpunca daripada kerja-kerja penyelenggaraan syarikat Petronas di sekitar Inanam dekat sini.

Bagaimanapun, menerusi notis Petronas kerja penyelenggaraan terbabit dijadualkan bermula pada 24 hingga 29 Ogos depan, bukannya hari ini.

Sementara itu, setakat pukul 12 tengah malam tadi Jabatan Meteorologi Malaysia Negeri Sabah dan pihak Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Negeri Sabah belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian letupan tersebut. - K! ONLINE