Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Cheah Chui Yoong, 60, bersama adik lelakinya, Cheah Yook Ching,57, dan isteri, Yew Kim Nyuk,53, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan polis mendapati, kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dipandu oleh anak saudara mereka berusia 24 tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh.

Jelasnya, sewaktu tiba di lokasi kejadian, tayar kiri di bahagian belakang kereta itu pecah sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya.

"Insiden itu menyebabkan kereta tersebut berpusing beberapa kali dan memasuki lorong kanan lebuh raya.

"Sebuah bas ekspres yang membawa 16 orang penumpang di laluan sama gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kereta dinaiki mangsa," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Kong Soon, rempuhan itu mengakibatkan ketiga-tiga mangsa tercampak keluar dari kereta dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ujarnya, mayat kesemua mangsa yang maut telah dibawa ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat.

"Pemandu kereta bersama ayahnya berusia 61 tahun yang berada di tempat duduk hadapan mengalami kecederaan dan turut dirawat di hospital sama manakala pemandu bas serta kesemua penumpang yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya - K! ONLINE