Dalam kejadian antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi itu, kesemua nelayan warga Indonesia berusia 30-an diserang dua suspek yang memakai pakaian gelap bersenjatakan rifel M16.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, seorang nelayan yang terselamat telah diambil keterangan.

"Setakat ini tiada tuntutan dilakukan kumpulan penculik. Kesemua nelayan mempunyai permit sah untuk menangkap ikan di kawasan perairan.

"Seorang mangsa terselamat apabila bertindak bersembunyi di bahagian hadapan bot sehingga penculik beredar," katanya di sini hari ini.

Omar berkata, polis sedang melakukan siasatan sama ada kumpulan tersebut mempunyai kaitan dengan pergerakan militan Abu Sayyaf.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 3 FIPA 1971. - K! ONLINE