Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan berkata, usaha dan urusan proses berkaitan untuk membawa pulang jenazah masih dilakukan.

"Ahli-ahli kumpulan yang lain (17 lagi ahli kumpulan dengan Allahyarham) ditempatkan di beberapa hotel di Mataram dan kedutaan sedang berusaha untuk membolehkan mereka menaiki pesawat penerbangan pulang ke Kuala Lumpur," katanya.

Siti Nur Iesmawida terkorban akibat dihempap runtuhan bangunan, manakala enam lagi cedera dalam kejadian gempa bumi kuat di Lombok semalam.

Allahyarham dalam program mendaki gunung berapi Rinjani di Lombok Timur.

Zamshari berkata, mereka yang cedera juga kini menerima rawatan susulan di RSUD Provinsi NTB di Mataram.

Beliau berkata, pihak kedutaan juga dihubungi satu lagi kumpulan pelancong dari Malaysia iaitu seramai 11 orang.

"Kumpulan seramai 11 orang itu kini berada dalam keadaan selamat di Pulau Gili Trawangan, Lombok Utara," katanya.

Semalam, satu lagi kumpulan pendaki gunung Rinjani dari Malaysia seramai 19 orang dilaporkan selamat di Senaru, Lombok Utara dan pihak berkuasa Indonesia membawa mereka ke Senggigi di Barat Lombok.

"Kedutaan masih terus berusaha untuk mendapatkan maklumat rakyat Malaysia lain yang terjejas susulan gempa bumi ini," katanya.

Rakyat Malaysia yang berada di Lombok dan memerlukan bantuan konsular atau keluarga mereka diminta menghubungi pihak kedutaan menerusi emel [email protected]/ [email protected] atau nombor telefon +62215224947 dan +6281380813036 (WhatsApp). - Bernama