Menurut laman web rasmi kejohanan, www.fina.org, mereka berada dikedudukan keenam dalam acara 3m Papan Anjal Seirama Wanita selepas mencatatkan 285.00 mata pada aksi di London Aquatic Centre.

Bagaimanapun, kedua-dua atlet itu dilihat berusaha gigih untuk berada dikedudukan tersebut apabila pada terjunan pertama, mereka berada ditempat tercorot 9tempat kelapan) dengan hanya merekodkan 45.60 mata.

Namun terjunan yang dilakukan Nur Dhabitah-Wendy bertambah baik apabila naik satu anak tangga selepas terjunan kedua dengan mata terkumpul 91.20.

Aksi Nur Dhabitah-Wendy semakin konsisten apabila pada terjunan ketiga hingga kelima mereka kekal di tangga keenam keseluruhan.

Pingat emas acara itu menjadi milik pasangan Australia, Maddison Keeney-Anabella Smith dengan 323.70 mata diikuti pingat perak dan gangsa masing-masing diraih oleh Chang Yani-Lin Shan dari China (316.77) dan Jennifer Abel-Melissa Citrini Beaulieu dari Kanada (306.45).

Terdahulu, gandingan penerjun muda, Hanis Nazirul Jaya Surya-Jellson Jabillin berada dikedudukan tercorot iaitu tempat kelima dalam acara 10m Platform Seirama Lelaki selepas mencatatkan 364.98 mata.

Penerjun tuan rumah, Thomas Daley-Matthew Lee dengan rekod 477.90 mata meraih pingat emas, diikuti pingat perak dimenangi oleh Lian Junjie-Yang Hao dari China (459.00) dan pingat gangsa pula menjadi milik Viktor Minibaev-Aleksandr Bondar dari Rusia (448.50).

Sementara itu, penerjun berpengalaman, Leong Mun Yee akan bergandingan dengan Hanis Nazirul dalam acara 10m Platform Seirama Campuran pada pukul 5 waktu tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia), hari ini.

Untuk rekod, selepas empat Siri Terjun Dunia, skuad terjun negara masih gagal meraih sebarang pingat. - Bernama