Menurutnya, dasar baharu yang hampir muktamad itu akan menekankan isu ketelusan dari segi proses permohonan disamping meningkatkan hasil kerajaan.

"Sejak Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan telah membekukan kelulusan permohonan baharu penggunaan cermin gelap kerana terdapat ketirisan dan kelemahan pada dasar yang sedia ada," katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja pada persidangan Dewan Negara bagi kementeriannya di sini hari ini.

Garis panduan mengenai cermin gelap pada kenderaan diubah beberapa kali sebelum ini semasa di bawah pentadbiran kerajaan lama.

Peraturan sedia ada yang diguna pakai ketika ini adalah di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (pindaan 5 Februari 2016) iaitu cermin depan 70 peratus, cermin sisi pemandu (50 peratus) dan cermin sisi belakang dan cermin sisi belakang penumpang (30 peratus). - Bernama