Jiran suspek, Zahari Kassim, 56, berkata, dia baru mendapat tahu keluarga tersebut hanya makan bubur nasi bersama gula baru-baru ini.

"Jadi, saya dan dua rakan buat kutipan wang untuk beli makanan dan barang keperluan buat keluarga tersebut," katanya ketika ditemui di kampung tersebut di sini hari ini.

Katanya, dia memberikan sumbangan itu pada Isnin lalu sehari sebelum kematian bayi, Norhayati.

"Pada masa itu saya lihat bayi dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kesan kecederaan pada mukanya.

"Bagaimanapun, isteri suspek beritahu bayinya tidak sihat kerana sudah dua hari tidak dapat membuang air besar," ujarnya.

Menurut Zahari, suspek dilihat hanya terbaring di dalam rumah kerana dikatakan tidak sihat.

"Saya tahu suspek ada masalah berkaitan mental tetapi saya tidak pernah nampak dia mengamuk mahupun berkelakuan agresif di kampung ini," katanya.

Seorang lagi penduduk kampung, Fatimah Hashim, 68, berkata, isteri suspek ada datang ke rumahnya baru-baru ini untuk mengambil daun semambu untuk mengubati sakit perut bayinya.

"Mereka jarang bergaul dengan orang kampung dan banyak menghabiskan masa di rumah," tambahnya. - K! ONLINE