Menterinya, Rina Mohd. Harun berkata, langkah itu akan melibatkan pindaan undang-undang sedia ada sebelum kawasan berstatus tanah adat dapat diwartakan atas nama Orang Asli.

"Pengertian tanah adat itu perlu didefinisi semula dengan mengambil kira aspek undang-undang, memandangkan tidak semua negeri mengiktiraf tanah adat Orang Asli yang menyukarkan pemewartaan menyeluruh dapat dibuat.

"Langkah ini akan disegerakan bagi memastikan ketidakadilan seperti yang terjadi kepada Orang Asli di Gua Musang, Kelantan dapat diselesaikan sebaik mungkin," katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan dan pelancaran program penghayatan Bulan Kebangsaan peringkat kementerian itu di sini hari ini.

Rina mengulas mengenai langkah yang akan diambil kementerian bagi membantu nasib Orang Asli Temiar di 17 perkampungan di Gua Musang yang terpaksa membina sekatan bagi menghalang tanah adat mereka diceroboh pihak luar. - Bernama