Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai berkata, langkah berkenaan diputuskan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz dalam mesyuarat bersama 10 Anggota Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kok Wai berkata, pengumuman tersebut dibuat selepas timbul beberapa pertikaian isu kontrak kerja berkenaan yang diberikan kepada kesemua kontraktor terbabit dilantik tanpa tender terbuka.

"Kami (Ahli Parlimen) dapati 10 kontraktor yang dilantik ini adalah kontraktor yang sama menjalankan kerja pengubahsuaian pejabat-pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pejabat bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan timbalannya.

"Kesemua kontraktor bagi kerja mengecat ini dilantik sebelum Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) dan kami persoalkan kenapa kontraktor yang sama ini dilantik tanpa melalui proses yang lebih terbuka," katanya.

Sementara itu, Mhd. Amin Nordin berkata, bagaimanapun bagi kerja-kerja mengecat di blok-blok bangunan yang sedang berjalan masih lagi diteruskan manakala selebihnya akan dihentikan serta merta.

"Bayaran kepada kontraktor hanya diberikan kepada kerja yang sudah diselesaikan setakat ini dan ketika ini sebahagian besar kerja mengecat berkenaan telah disiapkan," katanya. - Bernama