Menurut Vida, beliau hanya akan mengadakan sidang akhbar itu jika Aishah turut bersetuju untuk hadir dan menyelesaikan perkara berkenaan secara profesional.

“Saya akan menghubunginya untuk bertanya tentang isu ini.

“Jika dia bersetuju, saya akan mengadakan sidang akhbar bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada Kosmo! Online di sini sebentar tadi.

Baru-baru ini, Aishah menerusi akaun Instagramnya mendakwa loket pemberian Vida atas kemenangannya pada GV4 tidak mempunyai nilai kerana diperbuat daripada kubik zirconia dan batu sintetik.

Sebagai ganti, Vida mencadangkan agar hadiah berkenaan digantikan dengan jenama wang kripto, Lavida Coin.

Dalam pada itu, Vida menegaskan supaya Aishah menerima hadiah gantian tersebut dan berjanji untuk menyediakan tenaga mahir bagi memberi tunjuk ajar tentang selok-belok perniagaan wang kripto alam maya.

“Saya berharap agar Aishah menerima hadiah gantian ini dan tidak meminta benda lain. Lavida Coin akan memberi pulangan berlipat kali ganda berbanding nilai rantai berkenaan. - K! ONLINE