Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa, Mohamad Ramli Ibrahim, 65, terjun ke dalam sungai bagi menyelamatkan dua cucunya, Norshariza Hafiza Samsudin, 14, dan Nor Shafia Hafiza, 16, serta rakan cucu dikenali sebagai Hanis yang lemas.

Cubaan Mohamad Ramli untuk menyelamatkan dua cucunya itu bagaimanapun gagal apabila ketiga-tiga mereka ditemui mati lemas.

Remaja perempuan, Hanis bagaimanapun berjaya diselamatkan penduduk kampung.
 
Nenek kepada dua beradik, Sharifah Latif, 63, berkata, kejadian berlaku ketika mereka baru sahaja selesai makan di tebing sungai.

"Dua cucu saya bersama seorang rakan mereka turun mandi sebelum tiba-tiba berlaku arus deras dan paras sungai meningkat dengan cepat.

"Suami saya terun terjun untuk menyelamatkan mereka tetapi dia juga hanyut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Sabariah Shaari, 46, berkata, ketiga-tiga mangsa itu berkelah di kawasan tersebut bersama beberapa ahli keluarga lain sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina.

"Dua beradik yang tinggal di Kuala Kedah bercuti bersama ibu dan adik bongsu di rumah datuk mereka di sini sejak Isnin lalu dan hari ini mereka sekeluarga pergi berkelah di Sungai Pedu.

"Saya terkejut sebaik dimaklumkan tentang kejadian kerana Norshariza sempat memuat naik status WhatsApp "Hmm panas-panas" pada pukul 12.43 tengah hari," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Nerang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata, kejadian arus deras dipercayai berlaku akibat pintu empangan dibuka dan kita terpaksa meminta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menutup pintu empangan pada pukul 3 petang bagi melakukan operasi mencari mangsa.

"Mangsa pertama berusia 14 tahun ditemui pada pukul 2.26 petang diikuti kakaknya berusia 16 tahun pada pukul 4.36 petang petang dan datuk pada pukul 5.22 petang dalam radius 100 meter dari tempat mereka dilihat lemas," tambahnya.- K! ONLINE