Perintah reman terhadap lelaki berusia 56 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Siti Roslizawati Mohd. Zanin selepas membenarkan permohonan reman dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, lelaki itu tiba di mahkmah pada pukul 10 pagi tadi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna oren dan tangan bergari.

Dia sebelum itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM pada pukul 10.40 malam selepas hadir memberi keterangan.

Penahanan itu menjadikan seramai empat individu telah direman membabitkan kes suapan bagi projek pembekalan tersebut.

Menurut sumber, hasil siasatan SPRM mendapati, jumlah suapan tersebut dipercayai telah diseleweng daripada peruntukan projek bernilai lebih RM7.5 bilion daripada kerajaan.

Ujarnya, siasatan tersebut membabitkan pembekalan kereta perisai AV8 bernilai RM7.5 Billion dan kereta perisai AV4 bernilai RM155 juta.

“Suspek merupakan individu kedua yang dipanggil selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat sama hadir membantu siasatan pada Isnin lalu,” katanya.

Kosmo Online sebelum ini melaporkan, seorang pemilik syarikat bergelar Datuk Seri direman selama empat hari selepas dipercayai memberi suapan bagi projek pembekalan peralatan kereta kebal itu kepada orang-orang tertentu.

Selain beliau, turut dipanggil SPRM iaitu seorang bekas CEO berusia 50-an bagi membantu siasatan semalam.

Pada 12 Mei lalu, Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat swasta bergelar Datuk bersama seorang wanita yang juga Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat terbabit turut ditahan SPRM.

Katanya, siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. - K! ONLINE