Datin Rozita Mohamad Ali, 44, sebagai responden yang memakai jubah serba hitam hadir ke mahkamah bersama peguamnya, Mohamad Hanif Khatri Abdulla kira-kira pukul 8.55 pagi.

Permohonan semakan itu dibuat Jabatan Peguam Negara terhadap Rozita yang dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun serta membayar jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selepas menukar pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar di Mahkamah Sesyen Petaling Petaling Jaya, 15 Mac lalu.

Semakan hukuman hari ini dilakukan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Tun Abd. Majid Tun Hamzah dengan pendakwaan dilakukan oleh Muhamad Iskandar Ahmad.

Mengikut pertuduhan pilihan, Rozita didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang pengelap lantai, sekaki payung, sebatang rod besi berwarna biru, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju berwarna putih yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah, Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara dekat sini antara pukul 7 pagi dan 12 tengah hari, 21 Jun 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pertuduhan asal bagi kes ini adalah cuba membunuh Suyanti yang boleh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dengan memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama 20 tahun jika sabit kesalahan.

Mahkamah yang telah bersidang lebih sejam bermula kira-kira pukul 9.05 pagi kini ditangguhkan sementara setelah mendengar hujahan dari pihak pendakwaan dan pembelaan. - K! ONLINE