Penggantungan darjah kebesaran Najib itu melibatkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’.

Sementara, Rosmah melibatkan Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya berkata, penggantungan itu bagi menjunjung titah perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta hasil perbincangan bersama Dewan di-Raja Selangor.

Katanya, darjah itu digantung susulan kedua-dua mereka telah didakwa di Mahkamah atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes rasuah, pecah amanah, penggubahan wang haram dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Penggantungan gelaran dan penggunaan Darjah Kebesaran yang dikurniakan oleh Sultan Selangor ini akan disemak semula setelah kes dimuktamadkan di Mahkamah.

"Ini selaras dengan kuasa Baginda di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Negeri Selangor," katanya dalam kenyataan di sini ahri ini.

Sementara itu, Mohd. Amin yang merupakan Pendaftar Darjah Kebesaran Selangor turut menegaskan penarikan dan pembatalan darjah kebesaran Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang membawa gelaran Dato kepada bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Syarikat NGV Tech Sdn. Bhd, Zulkifli Shariff.

Ujar beliau, penarikan itu yang berkuat kuasa juga Isnin lalu kerana Zulkifli telah diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

"Justeru, beliau dilarang daripada menggunakan Darjah Kebesaran dan Gelaran Dato’, dan begitu juga mana-mana pihak lain jua turut ditegah daripada memanggil beliau dengan menggunakan gelaran berkenaan," jelasnya. - K! ONLINE