Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Amanah THM yang diadakan pada 24 April lalu.

Menurutnya, meskipun dana THM tidak mungkin boleh melangsaikan semua hutang 1MDB berjumlah RM51 bilion, tabung itu akan kekal menjadi simbol semangat taat setia dan patriotisme rakyat negara ini untuk melangsaikan hutang negara.

"Baki akhir sehingga 14 Januari lalu iaitu tarikh akhir penerimaan sumbangan ke dalam THM adalah sebanyak RM202.71 juta.

"Selanjutnya, faedah pelaburan simpanan tetap yang ditadbir oleh Jabatan Akauntan Negara sehingga 31 Mac lalu adalah sebanyak RM575,342.31 sekali gus menjadikan jumlah terkini akaun amanah THM berjumlah RM203.29 juta," katanya di sini hari ini.

Guan Eng berkata, sebagaimana yang telah dimaklumkan sebelum ini, satu Jawatankuasa Akaun yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan memutuskan penggunaan dana dalam akaun amanah THM mengikut tatacara yang termaktub di dalam arahan amanahnya.

"Ia akan digunakan untuk pembayaran hutang kerajaan Persekutuan dan pembayaran balik yang perlu dilakukan bagi tujuan akaun amanah ini sahaja.

"Ini adalah supaya keputusan berkaitan penggunaan dana THM dilakukan secara profesional dan telus," katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, kerajaan sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan ke dalam THM. - K! ONLINE