R. Uma Devi yang merupakan saksi ke-21 berkata, kesemua jumlah itu dimasukkan ke akaun Najib antara 8 Julai 2014 hingga 10 Februari 2015.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM27 juta dimasukkan pada 8 Julai 2014. Seterusnya baki RM37 juta iaitu RM27 juta pada 26 Disember 2014 dan RM10 juta pada 10 Februari 2015," ujarnya.

Katanya, RM37 juta itu adalah wang daripada syarikat Ihsan Perdana Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat menjalankan tanggungjawab sosial korporat bagi SRC International Sdn. Bhd. (SRC) manakala RM27 juta tidak dinyatakan sumbernya.

Uma Devi berkata demikian selepas membaca penyataan saksi pada hari kelapan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC bernilai RM42 juta di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Dalam pada itu, bagi rekod pemindahan keluar pula, Uma Devi memaklumkan, wang berjumlah RM20 juta. Daripada jumlah itu RM10 juta dipindah keluar dan dimasukkan ke dalam satu lagi akaun semasa AmPrivate Najib pada 8 Julai 2014.

"Melalui surat, mengarahkan wang berjumlah hampir RM449,586 daripada RM3.3 juta dalam akaun Ambank Datuk Seri Najib Razak dipindah keluar dan dikreditkan kepada kad kredit Visa Platinum manakala selebihnya iaitu RM2,833,147 dikreditkan kepada kad kredit Master Card Platinum," katanya yang memberitahu surat arahan itu dikeluarkan Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Arif Kamil pada November 2014.

Sementara itu, dalam prosiding sama, Uma Devi turut mengesahkan syarikat Gandingan Mentari Sdn. Bhd. telah menerima tiga transaksi wang berjumlah RM50 juta daripada SRC pada tahun 2014 dan 2015.

Katanya, tiga transaksi itu melibatkan jumlah RM40 juta pada 24 Disember 2014 manakala RM5 juta masing-masing pada 5 dan 6 Februari 2015.

"Gandingan Mentari melampirkan resolusi lembaga pengarah sebagai dokumen sokongan untuk permohonan tersebut yang menyatakan Nik Faisal Ariff Kamil dan Suboh Md. Yassin sebagai penandatangan sah untuk akaun itu," katanya.

Ketika membaca keterangan lanjut itu, Uma Devi juga menyatakan pengurus perhubungan Ambank, Krystle Yap telah menghantar emel bertarikh 24 Disember 2014 bagi meminta cawangan bank tersebut mematuhi surat arahan daripada SRC untuk memindahkan RM40 juta ke akaun Gandingan Mentari.

Perbicaraan bersambung lagi esok. - K! ONLINE