Memberikan amaran keras untuk itu, hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali berkata, sebarang hantaran umum yang dibuat Najib akan berdepan dengan tindakan.

Pesanan itu diberikan hakim selepas beliau menetapkan Isnin depan untuk mendengar hujah kedua-dua pihak berhubung permohonan Peguam Negara, Tommy Thomas, yang menuntut Najib memohon maaf.

Pagi tadi Thomas mengemukakan permohonan kepada hakim agar mengarahkan Najib meminta maaf tanpa syarat selepas memberikan komen mengenai perbicaraannya di Facebook.

Najib sebelum ini menulis mengenai isu perbelanjaannya bernilai RM3 juta yang menggunakan kad kredit yang dikaitkan dengan pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional itu.

Ketua pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah kemudian meminta hakim menetapkan Isnin depan sebagai tarikh mendengar hujah kerana beliau memerlukan masa berbincang dengan anak guamnya bagi menyediakan pembelaan.

Hari ini merupakan hari ke-40 perbicaraan. - K! ONLINE