Datuk Seri Dr. Makin @ Marcus Mojigoh yang juga Ketua UPKO Putatan berkata, cek yang diterima itu adalah bagi menjalankan program parti berkenaan termasuk pelbagai program kemasyarakatan di Sabah.

"Sebelum menerima cek itu, pihak kami telah mengadakan mesyuarat bersama BN (Barisan Nasional) untuk memohon bantuan dengan agenda membantu rakyat. Pada masa itu, kita tiada kewangan, jadi kami beritahu kepada Datuk Seri Najib," kata saksi ke-15 itu.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada hari ketujuh perbicaraan kes Najib atas tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. bernilai RM42 juta di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali di sini hari ini.

Menurut bekas Ahli Parlimen Putatan itu lagi, selepas mendapat cek tersebut, dia kemudian menyerahkannya kepada seorang pegawai untuk ditunaikan dan seterusnya duit tersebut diberi kepada UPKO untuk menjalankan program-program yang telah dirancang.

Antara program-program itu ialah melawat pesakit terlantar, pemberian cermin mata kepada warga emas yang mempunyai masalah penglihatan serta sumbangan kerusi roda untuk orang kelainan upaya (OKU).

Sementera itu, ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdulllah yang mewakili Najib, adakah terdapat sebarang syarat yang dikenakan selepas mendapat cek itu, Marcus memberitahu "tidak".

"Beliau (Najib) tidak memberi apa-apa syarat. Tapi kita telah senaraikan apa yang kita buat," katanya lagi.

Prosiding bersambung esok.

Pasukan pendakwaan diwakili Peguam Negara, Tommy Thomas, Datuk Sulaiman Abdullah, Datuk V. Sithambaran, Datuk Ishak Mohd. Yusoff, Donald Joseph Franklin, Datuk Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Manoj Kurup, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.

Pasukan pembelaan pula diwakili Muhammad Shafee, Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Shafee, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Shafee Rahmat Hazlan, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza. - K! ONLINE