Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, tugas SPRM adalah untuk mengenal pasti sama ada berlaku kemasukan duit ke akaun terbabit.  

"Saya tidak mahu membuat spekulasi individu tertentu akan dipanggil atau tidak kerana rasuah ini bukan melibatkan spekulasi atau pun jangkaan. Ia lebih kepada fakta," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Amanat Perdana Integriti 2019 yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari  Tun Openg di sini hari ini.

SPRM sebelum ini mengesahkan menerima laporan berhubung wang RM90 juta disyaki dari 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin Pas.

Jumaat lepas, ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hadir di Ibu Pejabat SPRM Kelantan bagi memberi keterangan berhubung siasatan mengenai dana sebanyak RM90 juta daripada 1MDB itu. - Bernama