Pengarahnya, Datuk Dr. Nora'i Mohd. Said (gambar kecil) berkata, setakat ini, pihak hospital berjaya mengutip dana sebanyak RM500,000 untuk perlaksaan projek itu sejak empat tahun lalu.

Jelasnya, dana itu diperoleh daripada hasil sumbangan staf HPj, pelawat, syarikat korporat dan jualan amal yang dijalankan pada setiap bulan.

“HPj mempunyai lima buah surau di setiap tingkat namun, ia hanya dapat memuatkan seramai lima orang dalam satu-satu masa. Pada hujung minggu, surau di tingkat atas terpaksa ditutup untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Mengikut perancangan, surau dua tingkat yang akan dibina mampu memuatkan seramai 1,000 orang dalam satu-satu masa manakala 18 buah bilik dengan 36 buah katil ditempatkan di balai pelawat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Lawatan Kebajikan Polis Kuala Lumpur sempena Peringatan Hari Polis ke-212 di HPj di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Nora’i, selain pelawat dan staf HPj, pembinaan surau itu juga dapat memberi manfaat kepada banyak pihak seperti Institut Kanser Negara (IKN) serta agensi-agensi kerajaan berhampiran.

Jelasnya, tanah untuk pembinaan surau dan balai pelawat itu juga sudah diuruskan di dalam kawasan hospital malah pihak Kementerian Kesihatan juga sudah memberi kelulusan untuk projek itu.

“Kita akan menjalankan kerja-kerja pembinaan surau ini dengan segera sekiranya kutipan dana berjaya mencecah 70 peratus daripada kos anggaran pembinaan.

“Sekiranya projek ini dapat dilaksanakan dengan segera, saya yakin ia dapat memberi keselesaan kepada setiap pelawat sekali gus dapat meningkatkan taraf kemudahan di HPj,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam (16018010027944) Tabung Pembinaan Surau Ibnu Sina Hospital Putrajaya atau Bank Rakyat (110981002095) Surau Ibnu Sina Hospital Putrajaya.

Sebarang pertanyaan mengenai pembinaan surau, sila hubungi Ummiaton Koronay di talian 03-8312 4378,  Kamaruzaman Abdul Aziz (0383124200 sambungan 1910) atau Suziyana Sukri (012-7860 665). - K! ONLINE